BIGtheme.net http://bigtheme.net/ecommerce/opencart OpenCart Templates
Home / Dari Meja KPP / Perutusan Selamat Hari Raya Aidil Fitri Oleh Ketua Penolong Pengarah, BTPN Kelantan

Perutusan Selamat Hari Raya Aidil Fitri Oleh Ketua Penolong Pengarah, BTPN Kelantan

Bismillahirrahmanirahim…

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Salam Ramadan, Salam Syawal kepada semua warga Bahagaian Teknologi Pendidikan Negeri, Warga Pusat Kegiatan Guru dan semua warga pendidik negeri Kelantan.

Terlebih dahulu izinkan saya untuk mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa kepada semua yang beragama Islam semoga hari-hari terakhir Ramadhan ini puasa kita akan lebih berkualiti dengan memperbanyakkan amalan-amalan sunat disamping ianya meningkatkan lagi integriti kita semua dalam melaksanakan tugas seharian.

Bulan Syawal merupakan bulan kemenangan untuk kita semua, saya berdoa dan mengharapkan agar semua warga BTPN dan PKG Kelantan dapat bekerja sebagai satu pasukan yang kukuh dalam menjayakan misi dan wawasan Kementerian Pendidikan Malaysia. Ini bersesuaian dengan agenda transformasi yang sedang dibawa oleh kerajaan dalam perkhidmatan awam iaitu di antaranya memecahkan tradisi silo, saling bekerjasama dan saling melengkapi serta meningkatkan kepelbagaian kompetensi. Kompetensi seseorang penjawat awam tidak hanya diukur melalui kebolehan mengurus tetapi juga melalui keperibadian yang luhur, jujur dan amanah. Ini boleh dicapai sekiranya semua penjawat awam boleh mengenepikan sikap mementingkan diri sendiri serta dapat menzahirkan sifat tawadduk iaitu merendah diri dan tidak sombong.

Tuan-tuan sekalian,

Tidak berapa hari lagi kita akan bercuti bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman masing-masing. Di kesempatan ini, saya ingin mengingatkan tuan-tuan, sebelum meninggalkan pejabat untuk bercuti pastikan semua tugasan yang memerlukan tindakan segera dapat disiapkan terlebih dahulu. Ini bagi memastikan kerja-kerja tersebut tidak tertangguh dan dapat disiapkan dengan jayanya.

Bagi tuan-tuan yang akan balik berhari raya di kampung dengan menggunakan kenderaan sendiri, pastikan kenderaan berada dalam keadaan sempurna sebelum memulakan perjalanan. Pandulah dengan cermat dan berhati-hati di samping mengamalkan sikap bertimbang rasa semasa memandu. Jangan memandu dalam keadaan mengantuk dan jagalah keselamatan diri dan keluarga. Saya mendoakan semoga tuan-tuan selamat sampai ke destinasi yang dituju dengan selamat sejahtera di samping dapat menemui ibu bapa dan ahli keluarga yang tercinta.

Sebelum kita meninggalkan pejabat, saya berharap agar semua warga BTPN dan PKG mengambil sikap bertanggungjawab ke atas bangunan dan aset di bawah seliaan masing-masing contohnya dengan mematikan semua suis lampu, komputer, mesin pencetak dan sebagainya. Manakala dokumen-dokumen penting pastikan ianya diletakkan di tempat yang selamat dan berkunci.

Tuan-tuan sekalian,

Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir batin kepada seluruh warga BTPN dan PKG yang selama ini menjadi tulang belakang dan aspirasi saya dalam menjalankan tanggungjawab menerajui Bahagian ini. Untuk itu, izinkan saya untuk menyampaikan beberapa rangkap pantun :

“Ramadan Bakal Beransur Pergi,
Syawal Menjelma Di Aidilfitri,
Seikhlas Hati Menyusun Jari,
Memohon Maaf Kekhilafan Diri.”

“Aidilfitri Hari Kemaafan,
Memupuk Perpaduan Sesama Insan,
Mengikat Tali Keakraban,
Menyatu Hati Sekian Lama Berjauhan….

Akhir kata, saya dengan rasa rendah hati bagi pihak diri, isteri, anak-anak dan seisi keluarga mengambil kesempatan ini menyusun jari nan sepuluh memohon kemaafan zahir dan batin atas apa jua kesalahan mahupun kekhilafan yang dilakukan.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

Sekian,

wabillahitaufik walhidayah wasalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Ikhlas,
NASIR MOHD NOOR

About Kamal Azrul Muhammad

Check Also

KAJIAN PASARAN BAGI TAWARAN HARGA MEMBELI BARANG LUSUH (PERLU PERMIT) UNTUK PELUPUSAN SECARA JUALAN SISA KENDERAAN HONDA ACCORD BAHAGIAN TEKNOLOGI PENDIDIKAN NEGERI KELANTAN BAGI TAHUN 2019

klik pautan dibawah untuk muat turun surat berkaitan KAJIAN PASARAN BAGI TAWARAN HARGA MEMBELI BARANG ...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: